Monday, November 9, 2009

Inikah kehidupan


Aku seperti tidak percaya dalam beberapa tempoh yang singkat aku telah kenal pelbagai jenis manusia, namun apa yang aku ingin paparkan adalah sebuah kehidupan yang aku sendiri tidak faham maknanya. Pernahkah kita terfikir bagaimana nasib dan kisah hidup orang-orang yang kita tidak sedari kewujudannya tetapi ada di sekeliling kita. Lalu apabila aku melihat diri, ternyata ada beberapa perkara yg aku rasa lebih baik dari orang-orang lain.
Sejak beberapa tahun yang lalu aku mengenali dunia siber secara serius dan mengenali pelbagai jenis manusia. Ada manusia yang suka mengambil kesempatan dan ada juga manusia yang benar-benar ikhlas dan jujur.

Bertepatan dengan sifat aku yang suka meneroka kehidupan, maka aku bertemu dengan pelbagai spesis manusia yang kadang-kadang membuat aku terfikir erti sebuah kehidupan. Apa yang aku ingin paparkan adalah sebuah kehidupan yang membuat berfikir panjang. Aku mengenali seorang lelaki melalui sesawang sembang sosial facebook. Dia memang memiliki rupa paras yang baik, cukup sifat sebagai lelaki idaman wanita. Biar aku namakan dia sbg Mr X yang masih muda dalam usia 20an. Apa yang membuat aku teruja untuk meneroka kisah hidupnya adalah warna-warna di sebalik kehidupannya. Dia seorang lelaki mahasiswa di salah sebuah IPT di negara ini dan mengikuti kursus yang bakal melayakkan menjawat jawatan sebagai seorang pendidik seperti aku. Itulah mungkin yang membuat aku teruja untuk meneroka jalur warna dirinya. Lebih-lebih lagi jarak rumahnya dengan rumahku hanya 40 kilometer. Dalam tempoh beberapa jam aku telah mengenali dirinya luar dan dalam. Seorang lelaki yang hidup dalam 2 warna yang berbeza hitam putihnya.

Aku sedikit tidak menyangka musibah telah menimpa dirinya sehingga menjerumuskan dirinya dalam jurang yang menyakitkan dan penuh kejam. Sehingga kini aku masih tidak percaya dengan apa yang dilaluinya memandangkan dirinya yang kelihatan begitu 'sempurna' sebagai seorang lelaki. Mungkin itulah takdir yang tercorak untuk dirinya yang seharusnya membuat kita berfikir tentang erti sebuah kehidupan. Aku tidak menyalahkan dirinya atas apa yang dilaluinya, mungkin itulah ujian buatnya dalam mengenal erti hidup yang sebenarnya. Pada permulaan bicara, dia adalah lelaki kasar yang 'ego' dengan patriaki dan kemachoannnya. pendek kata dia adalah 'hot stuff' dalam kalangan orang-orang yang sewaktu dengannya. Aku membuka sedikit demi sedikit egonya dan tanpa disedari terserlah perkara yang aku sendiri terkejut dan tidak disangka-sangka. Rupa-rupanya dia adalah camouflage yang hidup untuk menyesuaikan diri dengan persekitaran.

Siapa sangka di sebalik wajah macho dan ensemnya itu, rupa-rupanya dia hidup bergelandangan dengan noda dan dosa. Di awal bicara dia sudah menyatakan dia baru pulang dari melakukan kerja terkutuk. Sesak nafasku mendengarnya dan aku hanya membuat telahan mungkin dia bertemu 'skandal' sebagaimana kebiasaan orang-orang kota yang terjerumus dalam kancah hidup tanpa batas. Aku membuka lembaran dirinya, keluarganya dan pelajarannya. Ternyata dalam kekasarannnya itu ada naluri yang membuat aku terkedu seketika. X adalah anak yang baik, selalu menunaikan solat mengikut waktu dan anak yang tidak mahu menyusahkan sesiapa apatah lagi keluarganya. Justeru, apabila dia mendapat tawaran ke IPT dalam bidang pendidikan (yang sudah tentu menjadi kebanggaan keluarganya) dia merelakan dirinya untuk hidup dalam degup nafas yang cukup sukar. Pada awal pengajiannya dia sudah diuji dengan masalah kewangan. Apalah sangat pendapatan seorang penjual ikan dan ibunya yang berniaga makanan secara kecil-kecilan. Tambahan pula adiknya juga sedang belajar di kolej. hatinya terguris dan kelam tatkala ayahnya terpaksa menjual alat penimbang ikan eletronik untuk membolehkan dia meneruskan pelajaran. Aku seakan dapat membaca peta resahnya ketika meluahkan situasi itu...

Bimbang dan ragu untuk meminta lagi wang perbelanjaan dari keluarganya, X telah nekad menggadai maruah diri. Dia menjual dirinya untuk menampung perbelanjaan di universiti. Kisahnya penuh ironi kerana dia hanya menjual diri apabila terdesak dan hanya berbekalkan RM 7 untuk tambang bas, dia akan mendapat RM 100 untuk sehari suntuk sebagai teman sosial kepada mereka yang kehausan nafsu seks. Memang tidak berbaloi dengan upah yang diterima, tapi apakan daya itu sahaja yang terfikir di dalam benaknya. Situasi itu membuat aku benar-benar ngilu. Apatah lagi dia dengan penuh ikhlas menghantar kad pengenalan, kad matrik, dan surat tawaran ke Univesiti sebagai bukti dia tidak berbohong. Dia juga menunjukkan gambar kehidupannya dari sisi gelap seorang 'toyboy'. Apa yang membuat aku terkilan dia baru sahaja mendapat tawaran biasiswa daripada Kementerian Pelajaran selepas mencatatkan CGPA 3.68. Saat itu aku tidak dapat menahan sebak dan setitis air jernih mengalir. Terlalu besar dugaannya untuk mendapatkan segulung ijazah sehingga terpaksa menjual diri dengan nilai yang cukup tidak berbaloi. Aku sebak lagi bila dengan selamba dia kata akan melacur lagi untuk dibuat modal bagi mencari kerja sementara di KL bagi menampung pelajaran semester hadapan sementara mendapat biasiswa.

Episod dirinya membuat aku mengenang diri sebagai seorang pelajar yang pernah melalui kehidupan yang sukar sebelum bergelar pendidik. Aku tahu kehidupan sudah berubah tatkala telefon bimbit dan komputer riba bukan lagi menjadi benda mewah tetapi satu keperluan untuk seorang pelajar. Atas kesedaran nilai kemanusiaan, dengan rendah diri aku menawarkan bantuan kepadanya, tetapi ternyata dia manusia yang bukan mudah menerima simpati dari seseorang. Aku terpaksa memujuk dirinya bahawa aku benar-benar ikhlas untuk menolongnya tanpa balasan. Aku bukanlah lelaki kaya wang ringgit tetapi rasa kemanusiaan lebih menguasai diri lalu aku meminjamkan sejumlah wang kepadanya dengan harapan dia tidak lagi melakukan kerja itu. Aku tidak tahu adakah aku bodoh kerana berbudi dengan orang yang aku tidak kenali tetapi naluriku mengatakan dia lelaki baik tetapi keadaan yang memaksa dirinya menjadi sedemikian. Aku menawarkan diri menjadi abangnya dunia dan akhirat dengan harapan dapat memantau dirinya agar menjadi 'manusia' mengikut landasan hidup yang sebenarnya.

Aku tidak meletakkan harapan yang tinggi sama ada dia berubah secara total atau sebaliknya, Aku juga tau ada ketikanya dia pasti melakukan kerja itu lagi jika terdesak. Aku tidak akan menyalahkannya tetapi aku akan kecewa kerana hasratku untuk melihat dia kembali ke jalan yang benar akan memakan masa. Kepada X, abang minta maaf kerana terlalu banyak perkara yang abg tegur dan ingatkan. Kini dia sudah menjadi sebahagian dari doaku selepas solat agar dia benar-benar berubah dan hidup sebagai seorang siswa sebagaimana orang lain. semoga dia akan menjadi seorang pendidik yang berwibawa berdasarkan pengalaman hidupnya yang penuh getir. Dan aku bersyukur kerana dikurniakan sifat ihsan yang tinggi.

No comments:

Post a Comment