Friday, December 25, 2009

Uniknya SMK Subis

Pengalaman bermukim sebagai pendidik selama 4 tahun di bumi Niah banyak membri aku pengalaman pahit dan manis, semuanya indah bila dikenang. Terasa seperti melalui mimpi yang indah biar pun sebahagian dari kenangan itu cukup menyakitkan. Kehadiranku buat pertama kali di sekolah itu cukup membuat aku terasa begitu tertekan. Persekitarannya kelihatan kaku dan sepi di kelilingi banjaran bukit dan hutan. Aku masih ingat bagaimana kami terpaksa menyatu bekalan elektrik yang hanya beroperasi bermula jam 12 tengahari hingga 12 tengah malam. Bunyi-bunyi cengkerik, reriang dan burung kenyalang menambah lagi kesepian di hati. Saat itu tiada perkataan yang mampu aku luahkan kecuali bosan dan rindu dengan keluarga dan orang tersayang. Namun demi tugas dan bakti segalanya kutelan.
Aku ditempatkan bersama 2 orang guru di dalam flat JKR 3 tingkat dan memiliki 3 buah bilik serta perabut rotan ala kadar. Salah seorang adalah ustaz Zawawi dari Terengganu dan seorang lelaki Iban yang sudah memeluk agama Islam dan sudah berkahwin. Berada di persekitaran sekolah ini cukup unik kerana sebahagian besar pelajar (80%) berbangsa Iban dan selebihnya Melayu dan Cina. Situasi itu cukup untuk menyatakan bahawa agak sukar untuk mendapatkan makanan halal terutama di kantin sekolah. Oleh yang demikian kami dibenarkan untuk keluar ke Pekan batu Niah (2Km dari sekolah) untuk bersarapan pagi atau ke pasar harian. Jadi bukanlah sesuatu yang pelik jika kami menikmati teh tarik dan roti canai selepas P &P dan sempat pula membeli ikan dan sayur-sayuran di pasar sebelum menyambung semula tugasan P & P. Jika waktu senggang P & P agak lama, kami sempat pula menguruskan hal-hal rumah tangga seperti membasuh dan memasak. Kadang-kadang selepas memberi latihan kepada pelajar, aku sempat pula menyidai kain sebab rumahku bersebelahan dengan kelas.
Di Pekan Batu Niah, ia banyak mengajar aku tentang kesabaran dan kesusahan, aku juga belajar tentang kemanusiaan yang tinggi hasil dari pergaulan dengan rakan-rakan dan anak murid berbangsa Iban. Di sini , kita harus mengikut resmi padi, makin tunduk makin berisi. Banyak mata yang memandang tingkah laku dan tutur kata kita. Hidup sebagai lelaki bujang cukup menyeronokkan kerana kami bebas untuk membeli apa sahaja dan pergi ke mana sahaja.
Kami pernah menjelajah bumi Sarawak selama seminggu menggunakan bas, teksi, speed ferry, speed boat dan pulang semula ke Miri menaiki ‘belon’ (flight). Peluang menikmati nenas yang paling manis di Sarikei, mee kolok di Kuching, bermain ulat mulong di Dalit, menyaksikan ratu cantik maknyah di Mukah dan menikmati malam-malam penuh ‘blues’ di Sibu tentu menjadi kenangan yang sukar dilupakan. Hanya keimanan sahaja yang membataskan pergerakan kami, huh.... Aku masih ingat kenakalan Zul, Is, Zaid dan Hadi mengusik kupu-kupu malam dengan tawaran menarik yang menakutkan....Sumpah! tak ada apa-apa yang berlaku.
Sebulan sekali kami ke Bandar Miri, kesempatan itu digunakan untuk membeli belah, menguruskan kewangan atau berhibur dengan batas-batas yang ditetapkan..... Pendek kata hidup di bumi Sarawak tidak memerlukan wang yang banyak kecuali untuk berlibur dan membeli-belah. Kami tidak perlu membeli kereta atau perabot. Namun bagi lelaki yang obsess dengan jenama dan fesyen seperti aku memang memerlukan wang yang banyak untuk menjaga penampilan diri.... maintain selalu. Sebenarnya di Pekan Batu Niah sendiri memang memiliki banyak pusat hiburan apatah lagi ia pekan perantaraan antara Miri dan Bintulu. Aku masih ingat setiap malam minggu pasti kami akan lepak di ruang Laser Disc yang akan memuatkan 5 atau 6 orang dalam bilik berhawa dingin sambil menikmati pelbagai cerita menarik dalam skrin yang besar dengan bayaran RM 20 hingga RM30 sebilik mengikut jenis cerita (fasal jenis cerita ‘no komen’ heihei). Namun semuanya berubah bila aku telah berkahwin dan membawa isteri.
Langkah mula pendek dan soal liburan juga terbatas. (moral of the story...jangan kawin awal heihei). Sesuatu yang menarik perhatianku di sekolah ini ialah tentang semangat kesukanan yang cukup tinggi terutama dalam acara olahraga dan marathon. Aku masih ingat ketika menjadi ketua rumah sukan iaitu KANANG, telah berlaku banyak peristiwa di luar dugaan. Rata-rata pelajar mempunyai semangat yang tinggi untuk terlibat dalam sukan olahraga. Jadi tidak timbul soal pelajar yang tidak hadir dalam sesi latihan. Situasi ini amat jauh berbeza dengan pelajar-pelajar di Semenanjung yang rata-rata 'lengai' dalam bidang sukan kecuali kelompok atlit sekolah. Apa yang mengejutkan aku, ibu bapa yang kebanyakannnya hanya petani memang turut berminat, malah sebahagiannya turut membawa air jampi (disebut ‘pengaruh’). Pernah juga salah seorang pelajarku yang kalah mengamuk dengan alasan di’bomoh’kan oleh salah seorang bapa rakannya. Begitu hebat kepercayaan mereka. Setiap sekolah di sekitarnya turut menyelitkan acara jemputan berupa acara 100, 400 dan 1500 meter untuk penduduk kampung dengan hadiah trofi yang hebat. Atau paling tidak pun pun sekampit beras baru atau ayam. Maka tidak hairanlah jika sekolah ini pernah menduduki tempat ketiga keseluruhan daerah Miri selepas SMJK Chung Hwa dan SMK St Columba (ketika itu Watson Nyambek menjadi hero di sekolah ini). Salah seorang atlit 400 meter kami juga pernah mewakili Sarawak di peringkat kebangsaan. Mereka memang berbakat secara semulajadi kerana sudah biasa lasak dan terdedah dengan persekitaran yang kasar.
SMK Subis mempunyai asrama (jangan bayangkan asramanya seperti kebanyakan sekolah di semenanjung). Para pelajar hanya disediakan pangkin kayu yang panjang tanpa katil. Terpulang kepada ibu bapa untuk membekalkan tikar, bantal atau tilam. Bangunan asrama lelaki dan perempuan pula hanya dipisahkan oleh bangunan kuaters guru dan rumah aku (berpindah selepas berkahwin) menjadi pemisah kedua blok ini tanpa sebarang pagar. Apa yang pelik tapi benar ialah sikap pelajar Iban yang tidak kisah soal penampilan di dalam asrama. Aku selalu melihat pelajar perempuan yang berkemban yang lalu lalang dan pelajar lelaki yang hanya berseluar dalam ke hulu ke hilir dan kadang kala bermain sepak raga bulat seolah-olah sedang bersantai di tepi pantai. Justeru soal-soal seperti 18SX antara pelajar sudah menjadi perkara biasa. Aku pernah menangani kes seorang atlit sekolah yang mengandung hasil hubungan sulit dengan atlit yang lain ketika latihan intensif dilakukan pada waktu cuti sekolah. ketika itu aku menjadi penolong pengurus pasukan olahraga sekolah. Alkisahnya pelajar lelaki tersebut terlebih dos mengambil ubat kuat untuk berlari. Heihei.....mujarab juga tu....Akhirnya pelajar perempuan tersebut dibenarkan bercuti untuk bersalin dan dia kembali semula ke sekolah untuk mengambil PMR walau pun sudah berkahwin dengan pasangannya. Soal percintaan, kes lesbian dan kes-kes khalwat antara pelajar Iban dan Melayu cukup menyulitkan keadaan bagi kami. Dalam hal ini aku memang tabik dengan Cikgu Mokhtar yang memang cekap menangani kes-kes tersebut. Seorang guru yang serba boleh dalam apa jua perkara.
Apabila aku kembali ke semenanjung pada tahun 1996, memori itu seperti lipatan mimpi, seperti tidak percaya aku pernah mengenali bangsa Iban yang cukup berbudi bahasa, sopan santun dan pemurah. Ada juga guru sandaran Iban yang mencuit hatiku namun apakan daya....Aku masih ingat sebahagian anak-anak didikku yang mungkin sudah berjaya seperti Reggie anak Ajau, Sumi anak Maling, Lisah anak Ungol, Nyawai anak Mit dan ramai lagi. Yang paling menarik salah seorang pelajar cina yang mempunyai pengaruh Iban di dalam dirinya masih berhubung dengan kami sekeluarga, Pada hari raya yang lepas, dia telah menghantar 2 biji kek lapis Sarwak. Ling Ai Siew salah seorang pengurus syarikat telekomunikasi yang berjaya di Miri. Dialah satu-satunya pelajar Cina yang telah mendapat A1 dalam Sastera dan Sejarah yang kuajar. Semuanya begitu indah walaupun berbaur perit. Kini sudah hampir 14 tahun kutinggalkan bumi Niah. Entah bila aku akan menjenguk lagi daerah itu. Agi idup Agi ngelaban.