Wednesday, November 11, 2009

Aku menjadi 'warden' secara tak sengaja


Ketika aku berkhidmat di Niah, banyak pengalaman yang aku lalui dan rasai. Tahun 1992 merupakan era pekan Batu Niah seperti pekan koboi yang menjadi persinggahan antara Miri dan Bintulu. walau pun dihubungkan dengan jalan bertar namun persekitaran yag diselubungi hutan dan pokok kelapa sawit mencetuskan kegerunan yang teramat sangat. Mungkin persekitaran yang sedemikan membuat ada segelintir guru yang tidak tahan daulat lalu mohon bertukar dengan segera. bagi aku alang bisa tegal biasa. Apa yang aku ingin paparkan adalah satu peristiwa yang benar-benar berlaku semasa aku berada di daerah ini.




Malam itu ketika aku baru saja menelefon orang tersayang (dah jadi bini pun), aku dikejutkan dengan ketukan pintu bertalu-talu pada jam 11.30 malam. Sebaik aku menjenguk di luar apartmen JKR 3 tingkat itu, wajah Cikgu Mariam dengan wajah gelabah dan berpeluh-peluh. Dalam loghat Sarawat yang pekat, dia maklumlah seorang pelajar Iban telah pengsan di asrama. Aku tersengih kebingungan kerana aku bukannya warden. Namun atas dasar kemanusiaan aku bergegas ke asrama perempuan. Beberapa orang pelajar sedang menangis. Aku mengarahkan pelajar tersebut di bawa ke klinik yang jauhnya hampir 500 meter. Pembantu Perubatan Encik Jamali telah memeriksa denyutan nadi pelajar tersebut, katanya keadaan cukup serius dan meminta aku membawanya ke Hospital Miri yang jaraknya 120 kilometer. Aku tersengih dan kebingunagan namun sempat menelefon pemandu teksi yang memang sudi berkhidmat jika terdesak. Pada jam 1.30 pagi Mitchel (pelajar Iban itu) telah selamat tiba di hospital Miri di bahagian Unit kecemasan. Aku menunggu bersama Cikgu Mariam dengan penuh debar. Aku bertanyakan ke mana gerangan warden yang bertugas. Cikgu Mariam memaklumkan 2 orang warden telah pulang ke kampung dan dia sendiri tidak bertugas pada malam itu. Aku geram bercampur marah, bimbang kalau-kalau keadaan Mitchell serius. Kalau terjadi apa-apa tentu kes ini akan menjadi serius, silap-silap kena berhadapan dengan pengarah pelajaran.


Selepas sejam barulah doktor keluar dari unit ICU dan memaklumkan situasinya, pelajar itu harus diopersi dengan segera kerana jantungnya amat lemah. amun agak aneh apabila tiba-tiba sahaja pelajar itu kembali sihat dan beria-ia untuk pulang bersama aku walau pun ditahan oleh pihak hospital. Aku memahami situasinya, keluarganya pasti risau dan menurutnya apai (ayah)nya hanya dua kali sahaja datang ke bandar Miri sepanjang hayatnya. Aku faham betapa dhaifnya keadaan Mitchell. Selepas berbincang dengan doktor, beliau mengizinkan pelajar itu pulang. Menjelang jam 4.00 pagi kami tiba di perkarangan flat JKR dan aku membayar tambang RM 100. Aku menunaikan solat Isyak dan berdoa agar semuanya berjalan lancar. Fikiranku masih terarah keapda gadis pendiam itu. Aku hanya tidur-tidur ayam selama sejam sahaja kerana keesokannya aku harus menjalankan rutin biasa di sekolah.


Sebaik ahaja aku tiba di bilik guru, ramai mata memandang ke arahku dan pelbagai pertanyaan keluar dari guru-guru yang sudah mengetahuinya. Kedengaran juga suara yang mengatakan bahawa aku sepatutnya menjadi warden atas kebaikan itu. Ada juga yang suara sinis yang mengatakan aku akan mendapat gaji melintang (skim gaji SSB) pada hujung tahun nanti. Aku menelan kata-kata sinis itu dengan senyuman yang membengkak di hati. Menjelang jam 7.30 pagi aku dipanggil oleh pengetua. Dia terkejut dengan apa yang berlaku lalau memohon maaf kerana aku terpaksa menyusahkan diri. Dia menawarkan jawatan warden kepadaku tetapi aku menolak dengan alasan aku tidak mampu memberikan komitmen. Aku tahu bukan mudah untuk menjadi sebahagian dari pada mereka. Aku masih mendengar suara sinis 'orang Malaya tak akan jadi orang Sarawak'. Hah! siapa yang mahu menjadi orang Sarawak? Aku tak minta datang ke sini tapi aku akur dengan arahan dan tanggung jawab. Aku tak akan rampas hak mereka. Aku hanya mengambil wang tambang teksi dan dari riak pengetua berbangsa cina itu, aku tahu dia kecewa dengan keputusanku.


Beberapa hari selepas episod itu aku mengunjungi rumah Panjang Niah bersama Cikgu Mokhtar (Cikgu dari Perak yang sudah berahwin dengan orang Iban tetapi masih dipandang jengkel oleh mereka) untuk menjenguk keluarga Mitchell. Satu pengalaamn baru bila aku melihat suasana masyarakat Iban itu. Aku kagum dengan budi bahasanya yang tinggi. Apai Mitchell tidak henti-henti mengucapkan terima kasih kepadaku dan memberikan beras baru bersama 2 biji labu yang besar. Aku menghulurkan wang RM 50 sebagai sedekah tanpa menghiraukan batas sempadan agama dan bangsa. Dia menangis dan memelukku. Aku terkedu dan hampir menangis, mata beningnya seakan meluahkan bahawa dia amat menghargai diriku. Sepanjang perjalanan aku merenung Sungai Niah yang tenang walau pun di dalamnya menyimpan pelbagai jenis rahsia. Kenangan itu akan tersimpan sebagai nostalgia terindah dalam benakku sebagai seorang pendidik yang mendidik anak bangsa tanpa batas dan sempadan. Pengalaman itu turut menjadi sebahagian penceritaanku di dalam Novelku 'Menggapai Bintang di Langit'.

No comments:

Post a Comment