Monday, March 5, 2012

Apabila hidup dalam bekas kristal


Aku tak faham mengapa hidup ini terlalu sukar untuk dilalui, walhal laluannya cukup mudah dengan landasan yang mendatar meski pun berliku-liku...Buat pertama kali aku rasa tidak selesa dengan persekitaran yang kuhuni, bukan niat menafikan takdir Ilahi namun apabila hak dan privasi dicerobohi secara mistik, itulah permulaan rasa tidak puas hati, marah, geram dan rasa teraniaya.

Aku tidak tahu kepada siapa harus aku halakan rasa tidak puas hati ini, tapi rasanya tidak adil apabila aku dihakimi oleh juri yang salah. Puas sudah aku abdikan diri untuk bahagiakan orang lain hingga aku terlupa kebahagiaan diri sendiri. Selama mana aku harus bertahan dengan riak2 derita yang menghuni pada setiap sudut dan degup nafas. Hidup menjadi terlalu rapuh dalam setiap langkah. Aku tidak tahu di mana silapnya maka derita ini sukar untuk diusir dan bahagia yang kuharapkan seperti fatamorgana yang datang dan hilang tanpa bekas dan jejaknya. Sesuatu yang aku fahami dan terima, ketentuan dariNya tetap yang terbaik pada setiap insan dan mungkin dugaan itulah yang menguji aku sebagai seorang insan di sisiNya.

Ternyata aku sepi dalam keriuhan, terasing dalam bekas-bekas kristal yang indah, hakikatnya ia sekadar cahaya silau....sampai saatnya aku harus pergi membawa diri dan meninggalkan segalanya lantaran kehinaan diri yang sudah tidak mampu diterima oleh siapa-siapa. Hanya air mata yang mengiringi hari-hari yang berlalu bersama kasih sayang yang kian menipis...Adakah aku akan kehilangan orang-orang yang aku sayang? Entahlah....dalam kehinaan ini aku masih mengharapkan keajaiban akan berlaku dan aku kembali meraih cinta untuk teruskan nafas yang masih berbaki....Ya Tuhan....Kau maha mengetahui atas segala yang kurasa dalam setiap degup nafas ini.

Sunday, February 19, 2012

Mahalnya kehidupan ini

Lamanya aku tidak memasuki ruang-ruang ini, hampir setahun rasanya, bukan tidak berminat tetapi kekangan waktu begitu mendesak. Sejak memmasuki organisasi Pra U banyak urusan diketepikan lebih2 lagi hanya aku seorang guru lelaki dalam kalangan 13 orang guru PraU. Banyak perkara yang ingin dikongsikan namun banyak perkara pula yang menghalang, yang tidak mampu dijelaskan dengan kata-kata. Hanya aku yang tahu makna setiap degup nafas yang dihela, segala siksaan harus ditelan sendirian. Namun aku bersyukur dan redha dengan ujian yang mendatang. Aku selalu berfikir mungkin aku tidak bernasib baik dalam perjalanan hidup ini lantaran terpaksa menempuhi banyak ranjau hidup namun sering juga aku merasakan aku lebih baik dari orang lain dalam beberapa keadaan.

Hidup ini tidak mudah sebenarnya dan tidak pula sukar untuk meneruskannya kerana setiap apa yang berlaku telah ditentukan sejak azali. Walau sepahit mana pun hidup, kita tidak boleh mengalah meski pun degup nafas makin perlahan kerana selagi hayat masih tersisa selagi itulah kita harus menyusun peta perjalanan dan mengorak langkah kehidupan. Mungkin sedikit kebimbangan mula bersarang tatkala mengimbau plot kehidupan yang kian berbelit dan konflik yang tidak berkesudahan. Soal alam mistik yang menghantui hidup merupakan kegusaran yang tidak mampu aku ketepikan...selama mana ia bertahan walau pun rasa bosan mula berlagu pada setiap degup nafas yang dihela....Dan aku harus terus melarutkan diri dalam permainan mistik yang kian sukar untuk difahami...hanya Allah yang tahu sekeping hati aku yang sepi dalam keriuhan....aghhh! mahalnya kehidupan ini untuk dipersiakan.

Sunday, April 24, 2011

Entahlah.....

Lama sudah aku tidak update blog ini dan aku mempunyai alasan yang tersendiri mengapa aku malas untuk mengunjungi blog ini meski pun ramai yang mendesakku untuk bercerita tentang dunia mistik. Jujurnya situasi ini cukup menyakitkan dan aku sendiri sudah bosan bercerita tentang dunia paranormal ini. Tapi itulah ketentuan Ilahi, perkara yang kita ingin elakkan selalunya terjadi dalam hidup kita. Apa yang boleh aku katakan aku memang BENCI dengan dunia paranormal kerana ia menuntut kefahaman dari lapisan yang tinggi. Aku dah malas untuk berfikir dan memahami setiap jalur yang terbentang dalam hari-hari yang mendatang.

Aku manusia biasa yang perlukan ruang untuk bergerak dan nafas untuk disedut. Ternyata apa yang aku lalui sejak awal Januari sehingga kini merupakan satu pengalaman yang terlalu perit dan tidak memungkinkan aku berkongsi di dalam ruang ini. Sesuatu yang tidak masuk akal dan penuh MIRACLE...jadi aku putuskan biarlah ia menjadi kenangan untuk aku dan akan kucuba bertahan sebaik mungkin meski pun jauh di sudut hati aku ingin lari dari dunia pelik ini. Selepas ini blog ini akan kembali bercerita tentang hal2 NORMAL sahaja. Sekitar dunia pendidikan, kehidupan, falsafah dan pandangan aku tentang sesuatu isu.

Monday, November 1, 2010

Perjalanan Jiwa


Atas permintaan rakan-rakan fb aku paparkan kisah perjalanan untuk tatapan semua, semoga ia memberi panduan kepada mereka yang berkenaan. Maaf sekiranya terdapat kekuranagn dalam catatan ini


1. Sebelum Perjalanan
Aku tak pernah terjangkakan sebuah perjalanan yang jauh akan kulalui memandangkan tiada tanda-tanda yang menunjukkan aku akan melalui perjalanan itu. Segala-galanya berlaku di luar dugaan sebaik sahaja isteriku mendapat bayaran imbuhan hasil pertukaraan skim KWSP ke skim pencen. Pada mulanya isteriku membuat tawaran untuk memiliki Toyota Wish atau pun menunaikan umrah. Sudah pasti aku memilih untuk memiliki Toyota Wish memandangkan sudah 3 tahun kami tidak bertukar kereta. Entah kenapa tiba-tiba dia berubah arah dan menyatakan untuk menunaikan umrah pada tahun ini juga. Aku tergamam antara percaya atau tidak. Sukar untuk aku menolak dan sukar juga untuk aku mengiyakannya. Aku cuma tersenyum dan mengangguk. Banyak yang aku fikirkan lebih-lebih lagi segala tambang perjalanan ditanggung olehnya.
Sebulan sebelum keberangkatan aku masih keliru dan ragu-ragu. Bukan tidak mahu menunaikan ibadat mulia itu, tetapi atas rasa tidak yakin, bimbang dan takut maka perkara yang mulia itu menjadi seperti perkara yang ‘berat’. Puas aku merenung diri....lebih-lebih lagi ketika mengimbau dosa-dosa yang pernah aku lakukan. Sejurus selepas itu aku menghadiri beberapa siri kuliah tentang ibadat haji dan umrah di salah sebuah masjid. Banyak perkara yang terpaksa aku korbankan untuk memenuhi perjalanan selama 2 minggu itu. Soal anak lelakiku yang akan menghadapi peperiksaan PMR dan jadual tuisyennya yang padat, soal anak perempuanku yang berusia 7 tahun yang tidak pernah berenggang denganku. Allah maha kuasa, ia menunjukkan jalan yang mudah. Sepupu kepada isteriku menawarkan diri untuk menjaga rumahku manakala jiran terdekat sudi untuk menjadi ‘pemandu’ untuk tuisyen anak lelakiku.
Seminggu sebelum perjalanan kami membeli beberapa barang keperluan asas termasuk kain ihram dan sebagainya di Alor Setar. Sekali sekala rasa debar itu datang menerpa di jiwa. Bimbang dan takut tetap ada. Tuan Haji Zakarial, bekas rakan sekerja yang menawarkan pakej umrah itu telah sudi datang ke rumahku untuk memberikan beberapa penerangan tentang ibadah umrah. Sebagai persiapan mental dan jiwa, aku mengikuti apa yang disarankan oleh beliau dengan banyak melakukan ibadah sunat, solat sunat taubat, solat tahajud dan solat hajat. Aku tahu perjalanan ini amat bermakna buat kami untuk ‘membebaskan’ kami dari cengkaman masalah yang menimpa rumah tangga kami sejak 16 tahun yang lalu. Aku harapkan dengan berdoa di tempat-tempat yang mustajab, isteriku akan pulih seperti biasa dan dijauhi dari gangguan khianat manusia yang tidak pernah putus dalam hidup kami. sesuatu yang membuat aku terkilan, kami terpaksa mengabaikan ‘keluarganya’ buat seketika atas sebab-sebab keselamatan yang tidak dapat aku nyatakan di blog ini.
2. Sepanjang Perjalanan
Selepas menunaikan solat sunat musafir, kami memulakan perjalanan seawal jam 4.00 pagi menuju Lapangan Terbang Bayan Lepas. Sepupu isteriku iaitu Abang Omar dengan relanya menghantar kami ke sana. Jam 6.45 pagi selepas solat Subuh, kami menaiki pesawat MAS selama 45 minit dan tiba di KLIA jam 8.00 pagi. Rupa-rupanya sudah 12 tahun aku tidak menaiki pesawat selepas aku pulang dari Sarawak. Pertama kali juga aku melihat kecanggihan KLIA dengan pelbagai prasarana. Sebaik sahaja tiba di ruang ketibaan, kami terus bersarapan nasi lemak dan teh tarik dengan harga RM 48.00. Tergamam aku seketika. seakan-akan berada di negara asing walhal kebiasaannya harga itu sekitar RM 8 di restoren biasa.
Selepas menikmati sarapan pagi, aku bertemu ahli rombongan lain iaitu pengetuaku Puan Hjh Hafsah bersama suaminya Abang Mat serta 2 orang anak perempuan mereka iaitu Najwa dan Nurul Husna. Masing-masing berdebar menunggu pesawat berlepas. Kami berenam kelihatan ceria dan sempat bergurau senda. Aku bersyukur dapat menunaikan umrah bersama bossku sendiri yang terkenal dengan pelbagai doanya. Setiap kali dia berdoa kami hanya menadah tangan. Banyak juga doa-doa ringkas yang kami perolehi darinya. Tepat jam 10.30 pagi kami menaiki pesawat Emirates menuju ke Dubai selama 8 jam. Perkara pertama yang membuat aku keliru ialah ‘jetlag’ waktu yang cepat selama 5 jam. Kami tiba di Airport Dubai pada jam 10.00 malam (waktu Dubai). walau pun penat tapi semangat untuk melakukan ibadah kami ketepikan. Kami transit selama 2 jam di airport Dubai. Kami menghabiskan waktu dengan menunaikan solat-spalat yang tertinggal (Zuhur dan Asar) dan melakukan solat Jamak Taakhir Maghrib dan Isyak. Pada waktu yang terluang sempat juga kami bergambar dan meninjau beberapa barangan mewah. Huh! ternyata harganya memang hebat dan aku hanya sempat menjamu mata sahaja. Kami menyambung penerbangan dengan Airbus yang cukup besar ke Jeddah yang memakan masa selama 2 jam, Sekali lagi kami mengalami ‘jetlag’ apabila waktu dilewatkan selama 1 jam. Kami tiba di Jeddah pada jam 12 tengah malam waktu tempatan.
Kami disambut oleh ustaz Rosdi yang menjadi mutawif dan dibawa menaiki kereta pacuan empat roda yang dipandu oleh seorang warga Arab bernama Abdullah. Seorang lelaki yang begitu menghormati tetamu walau pun cara pemanduannya cukup kasar dan menakutkan. Baru aku sedar rupa-rupanya itulah gambaran sebenar orang Arab, cukup berbeza berbanding dengan orang Melayu. Kami makan malam pada pukul 12 tengah malam di dalam kereta itu. Kami tiba di Madinah pada jam 3 pagi dengan keadaan yang cukup meletihkan. Sesuatu yang cukup pelik suasana membahang biar pun di waktu dinihari. Dan yang lebih pelik ketika itulah warga Arab membeli belah ketika sebahagiannya sedang menikmati mimpi indah.
3. Pengalaman di Madinah
Keadaan hotel cukup luas dan selesa walaupun makanannya biasa-biasa sahaja. Keadaan yang letih ketika itu menyebabkan kami tertidur dan tidak dapat menunaikan solat Subuh berjemaah di Masjid Nabawi. Pada waktu solat Zohor buat pertama kali aku jejakkan kaki ke Masjid Nabawi dalam cuaca mencengkam 45 darjah selsius. Aku seperti ingin pitam sewaktu melintasi jarak 150 meter dari hotel ke masjid buat kali pertama. Namun suasana bertukar menjadi selesa sebaik sahaja memasuki masjid yang penuh sejarah itu. Inilah masjid yang benar-benar buat aku terasa selesa untuk melakukan pelbagai amalan sunat walau pun dalam jangka masa yang lama. Suasana sejuk penghawa dingin membuat kita tidak terasa berada lama di dalamnya. Kami berada di Madinah selama 3 hari dan dibawa melawat sekitar masjid Nabawi serta beberapa masjid lain seperti Masjid Quba, Qiblatain dan beberapa tempat lain termasuk Jabal Tsur dan Jabal Uhud yang terkenal dengan pelbagai jenis tamar dan barang2 harian.
Sesuatu yang menarik tentang pengalaman di Madinah ialah kisah tentang biji tasbihku yang hilang sebanyak 2 kali. Aku membawa tasbih yang aku tidak tahu siapa yang hadiahkannya. Aku cukup menyayangi tasbih itu kerana setiap kali aku berzikir ia akan mengeluarkan bau yang harum di tangan. Sepanjang berada di Madinah, aku tidak pernah lekang menggunakannya walau pun ada ketika menggunakan tasbih elektronik atau pun jari jemari. Entah macam mana pada hari kedua aku terlupa menyimpannya di dalam beg galas dan hilang entah ke mana. Terdetik di dalam hati agar aku menjumpai semula tasbih itu. Pada keesokannya aku melihat tasbih itu tepat berada di hadapanku sebaik sahaja aku menunaikan solat Subuh. Aku mengambil dan menciumnya dengan rasa syukur. Selepas itu, aku kehilangan sekali lagi dan yang peliknya aku bertemu lagi di tempat lubang penghawa dingin di sebelahku. Seperti ada seseorang yang menolong mengembalikannya kepadaku. Pada hari ketiga aku membeli tasbih yang baru yang mempunyai bau yang wangi berwarna coklat. Apa yang mengejutkan tiba-tiba tasbih yang aku bawa dari rumah itu hilang secara tiba-tiba. Aku tergamam tetapi redha dengan kehilangannya.
Kata orang kota Madinah juga tempat untuk membeli belah. Sebenarnya aku dan isteri tidak membawa wang yang banyak. Hanya SR 1400 daripada sedekah rakan-rakan dan sanak saudara dan sedikit wang Malaysia sebanyak RM 700. Isteriku sendiri hanya membawa RM100 kerana niat kami adalah untuk beribadat. Nasib baik aku teringat untuk membawa kad kredit yang aku jangkakan pasti berguna ketika terdesak. Pada awalnya kami hanya membeli pelbagai barang cenderahati untuk rakan-rakan. Namun sedikit sebanyak kami digoda dengan pelbagai barangan khususnya jubah-jubah yang cantik dan pelbagai corak. Boss aku sendiri memang shopaholic seiring dengan amalan ibadatnya itu. Sebaik sahaja selepas solat di masjid, kami pasti memasuki kedai-kedai yang menawarkan pelbagai barangan. Aku lebih selesa bergerak dengan
Abang Mat manakala isteriku bersama boss dan anak-anaknya.
Sepanjang berada di Madinah aku sempat solat di kawasan Raudhah sebanyak 2 kali dalam keadaan yang sesak dan berhimpit-himpit. Sempat pula aku berkenalan dengan pelbagai jenis manusia dari pelbagai pelusuk dunia. Walau pun hanya menggunakan bahasa isyarat dan bahasa Inggeris dan Arab yang mudah, aku dapat menyelami perasaan pemuda dari Palestin yang datang untuk berdoa demi kesejahteraan tanah airnya. Aku tersentuh apabila dia meminta aku turut berdoa untuk negaranya. Selepas 3 hari, kami meninggalkan bumi Madinah selepas melakukan ziarah wida’. Aku tidak dapat menahan rasa sedih sebaik sahaja mengucapkan salam kepada makam Rasulullah dan sahabat-sahabat baginda. Selepas solat Zohor, kami berangkat ke Mekah dengan MPV yang lebih selesa yang dipandu oleh Abdullah.

4. Menghirup udara Mekah
Perjalanan dari Madinah ke Mekah sejauh 380 kilometer memakan masa hampir 4 jam di dalam pakaian ihram. Perjalanan merentasi bukit-bukit berbatu dan padang pasir memang mencabar. Bossku yang mampu menguasai bahasa Arab dapat pelbagai informasi daripada Abdullah tentang bumi Arab dan adat budayanya. Sempat juga kami memberi makan kepada sekumpulan monyet yang berkelana di bukit-bukit tandus. Amat mengejutkan bagaimana sekumpulan monyet itu mampu hidup tanpa sepohon kayu apatah lagi lopak air. Beberapa kali kami melalui pemeriksaan keselamatan. Baru aku tahu rupa-rupanya tidak mudah untuk memasuki Tanah Haram itu. Kesucian cukup terpelihara apabila orang-orang bukan Islam diharamkan sama sekali memasuki kawasan tanah Mekah.
Dalam perjalanan kami singgah di Masjid Bir Ali iaitu miqat (sempadan) untuk melakukan umrah. Di situ kami mengambil wuduk dan melakukan solat sunat tahayatul masjid dan solat sunat ihram. Sebaik sahaja kami berniat ihram, beberapa pantang larang harus dijaga dan sepanjang perjalanan hanya dipenuhi dengan tahmid ‘labbaikallahummalabbaik’.
Kami tiba di tanah suci Mekah tepat jam 11 malam waktu tempatan. Selepas menikmati makan malam dan menyimpan beg di hotel, kami dibawa oleh muwatif untuk melakukan umrah wajib. Pertama kali ketika melihat kaabah, hatiku begitu sayu dan penuh syukur. Rupa-rupanya kaabah tidaklah sebesar jangkaanku, namun aku begitu kagum setiap kali memandangnya. Kelihatan orang bersesak-sesak untuk melakukan tawaf. Ternyata kawasan itu sentiasa dipenuhi ribuan manusia tidak kira siang atau malam. Selepas mengelilingi kaabah sebanyak 7 kali untuk melakukan tawaf, kami meneruskan amalan saei iaitu berulang alik dari bukit Safa dan marwah sebanyak 7 kali sebelum tahallul (bergunting). Kami selesai mengerjakan umrah wajib hampir pukul 1.30 pagi dan terus pulang ke hotel penginapan untuk berehat.
Kami berada di kota Mekah selama 12 hari. Terasa tidak puas untuk beribadat. Terasa tidak penat walau pun tidur hanya sejam dua dalam sehari. Itulah hikmah yang sukar digambarkan dengan kata-kata. Sepanjang berada di sana, ada beberapa peristiwa yang berlaku yang membuat aku berfikir beberapa kali tentang kebesaran Allah.
Semasa kami sedang membeli buah kurma, aku melihat seorang lelaki yang kurang siuman telah memakai pakaian perempuan berupa mini skirt. Tiba-tiba sahaja aku tersenyum melihat gelagatnya yang tidak jauh dari aku. Seorang lelaki Arab juga turut tersenyum dan sempat dia melihat kea rah aku. Selepas beberapa buah kedai kami lawati, ketika melalui jalan pulang di tempat penginapan, tiba-tiba lelaki tadi datang dari arah tepi lalu mencuit pipi aku. Aku terkejut dan dia terus hilang. Aku bertanyakan isteriku yang berada di sebelah kalau-kalau dia melihat kelibat lelaki itu, namun agak pelik bila isteriku beritahu dia tidak melihat sesiapa. Aku membuat kesimpulan kita tidak boleh berasa jengkel dan pelik ketika di sana.
Peristiwa kedua adalah ketika aku melakukan tawaf terakhir sebelum tawaf widaq. Kata orang bukan mudah untuk kita mengalirkan air mata seandainya kita tidak benar-benar ikhlas untuk melakukannya. Sepanjang lebih 10 hari aku di sana aku sering berusaha mencari kekusyukan dan kenikmatan sebagai hamba Allah dan cuba untuk merasa sedih atas sifat diri kita yang lemah. namun ia tidak semudah yang disangka kerana Allah maha mengetahui apa yang terbuku di hati kita. Sepanjang melakuka ibadat tawaf dan saei aku lebih senang melakukan sendirian dan akan menunggu abang mat di suau lokasi yang telah dijanjkan. Begitu juga dengan isteriku dan yang lain. Sambil melakukan tawaf aku mengimbas kembali apa yang telah aku lalui dan memikirkan hubungan aku dengan isteri yang sering menghadapi masalah dikhianati orang terdekat. Tanpa sedar aku menangis dan akhirnya selepas memasuki pusingan ketujuh terlintas di fikiran aku untuk memohon doa di hadapan makam Ibrahim. Aku berdoa jika benar dia isteri yang akan menemani aku hingga akhir hayatku aku minta dipertemukan. Tiba-tiba selepas aku melakukan solat sunat tawaf, isteriku muncul seorang diri tapat di sebelahku. Aku menangis dengan laju dan dia juga menangis (aksinya macam Shah Rukh Khan bertemu Kajol selepas lama terpisah). Itulah kebesaran Allah yang aku tak dapat gambarkan dengan kata-kata.
5. Perjalanan pulang
Saat keberangkatan pulang adalah detik yang paling sedih sepanjang berada di Mekah. Entah bila kaki akan berpijak lagi di tanah suci dan entah bila mata akan melihat kebesaran kaabah. Antara sedar dan tidak, air mata mengalir tatkala melakukan tawaf widaq. Seperti yang dijangka kami memang membeli banyak barang-barang sebagai cenderahati untuk sanak saudara. Jka dihitung sudah pasti kami akan dikenakan bayaran tambahan. namun kuasa Allah mengatasi segalanya. Berkat doa ustazah, akhirnya mesin timbang di lapangan terbang Jeddah tidak berfungsi dan semua barangan kami dilepaskan. Sepanjang perjalanan pulang penuh dengan rasa sedih dan terharu sambil ingatan mula menggamit terhadap keluarga masing-masing. Setibanya di KLIA kami menghadapi masalah timbangan yang melebihi 100 kilogram. ketika itu aku meminta ustazah membaca doa-doa tertentu agar dipermudahan. Atas berkat doa ustazah seacra tiba-tiba kami dikecualikan bayaran malah disuruh meletakkan semua beg di atas timbangan.
Sesungguhnya perjalanan ini adalah satu perjalanan mencari jiwa yang hilang. Di situ aku menemui kebesarannya dan di situ aku menghitung diri sebagai hamba yang lemah. Pengalaman bersolat dan berdoa di Raudhah, mengucup Hajar Aswad dan solat di Hijr Ismail pasti akan terus berbekas di jiwa sedalam-lamanya. Semoga perjalanan ini bukan yang terakhir untuk aku dan isteriku.

Saturday, October 30, 2010

Apabila Orang-orang Kayangan Main Memo

Mengikut waadat Seri Teri Buana dan Deman Lebar Daun, kedua pihak antara pemerintah dan golongan diperintah harus ada tolenrasi yang tinggi agar hak masing2 terpelihara dan berlaku hubungan timbal balik antara keduanya.

Apa yang ingin aku kongsikan dalam catatan ini adalah ‘kelucuan dan kepelikan’ yang muncul dalam memo yang dihantar oleh orang kayangan kepada orang bumi. Antara isi kandungan memo itu adalah “guru-guru tidak dibenarkan membawa anak-anak ke sekolah dan berkeliaran di sana sini hingga menjejaskan P & P di sekolah” . Tetapi yang paing sadis apabila arahan itu turut dikaitkan dengan hukum hakam agama kononnya penggunaan air di tandas sekolah oleh anak2 itu dianggap berdosa. Pada mulanya aku seperti mengkelan dengan memo yang disebarkan kepada semua guru. dan aku rasa guru-guru yang terbabit bukan setakat mengkelan tetapi terlekat anak tekak bila membacanya.

Memang tidak dinafikan bila kita menjadi orang kayangan kita boleh buat apa saja arahan kepada orang bumi sebab mereka berada di atas. yalah namanya pun BOSS kan. Tetapi kita jangan lupa orang-orang bumilah yang memakmurkan orang-orang kayangan, yang menjunjung batu jemala patik sebagai pacal yang hina dalam memartabatkan arahan “yang menurut perintah”. justeru, arahan itu rata2 membuat guru-guru rasa sebak dan terkilan dan tersentap di atas beberapa perkara. Kalau tidak percaya orang kayangan cubalah buat survey kat mana-mana sekolah Antara kemengkelanan tersebut adalah:

1. Guru-guru bukan sengaja membawa anak-anak ke sekolah, tetapi sebagai transit sementara memandangkan anak-anak mereka (sekolah rendah) majoritinya pulang lebih awal. Jika kelihatan anak-anak itu berada lebih lama di sekolah sekali pun ianya bukan salah guru tersebut tetapi salah pentadbir yang memulakan mesyuarat dengan lambat dan menghabiskan mesyuarat juga dengan lambat. Kadang-kadang ada mesyuarat yang dibuat ikut suka depa tanpa pemberitahuan lebih awal. Dalam soal ini maka lebih berkeliaran la anak2 tersebut. Guru-guru ni tak kelapaq sebenarnya nak bawa anak-anak ke sekolah (dalam bahasa yang sopan)

2. Ada ketikanya pihak sekolah membuat aktiviti pada hari Sabtu sedangkan hari sabtu adalah cuti rehat para pengasuh dan tadika, jadi guru-guru dengan berat hati terpaksa membawa anak-anak. Itu pun kalau kena berkursus terpaksalah ‘packing’ anak-anak pakai kurier hantar rumah emak atau mak mertua. Kalau aktiviti kokurikulum terpaksalah bawa anak-anak ke sekolah. Dan takkan lah nak dipakai lampinkan budak2 yang dah besar tu semata2 tidak mahu gunakan tandas sekolah. Jadi apalah salahnya anak-anak itu bertenggek seketika bersama emak atau bapanya asalakan segala aktiviti berjalan lancar.

3. Logik ke soal air dalam tandas diungkit segala? berapa banyaklah anak2 guru itu memberak dan mengencingkan diri? takkan la cikgu nak bawa air dari rumah untuk aktiviti bersuci itu. Rasanya tak boleh pakai batu dan kertas selagi ada air (minta ustaz betulkan kalau silap ya). Pernah ke orang-orang kayangan fikir berapa berapa banyak duit cikgu habis untuk membuat panggilan telefon kepada waris yang anak2nya ponteng sekolah?, fotostat bahan P & P?, minyak kereta hantar pelajar sakit dan pelbagai bayaran yang dibuat atas dasar percuma atau free of charge. Mungkin orang kayangan terlupa dia dulu pun berasal dari bumi. Mungkin juga dia suka membuat kerja-kerja kebajikan dan tidak pernah merungut waima berkata “ah!” Jika benar tiada perasaan itu maka orang-orang kayangan itu mungkin boleh mencapai tahap suci gamaknya.

Jadi dalam hal ini soal timbal balik harus dijadikan pegangan. Kita tidak boleh berkira dalam hal-hal sebegini kerana kedua pihak saling memerlukan dan keduanya saling bergantung. Kemenjadian sesuatu projek di sekolah bergantung sesangat kepada daya usaha guru walau pun jarang-jarang guru diberi penghargaan. Jangan lah sampai guru mengeluarkan sempoa dan kalkulator untuk mengira beban tugas masing-masing. Lebih teruk lagi jangan sampai cikgu ‘wat bodoh dan berkata mampuih pi la kat hang’ siapa yang rugi?

Saturday, February 20, 2010

PTK – Exam paling puaka...mengerikan tetapi terpaksa melaluinya.

Bagaimana rasanya jika kita berjaya lahirkan ramai pelajar melalui peperiksaan PMR,SPM dan STPM tetapi diri sendiri masih gagal utk melepasi tahap cemerlang yang diharapkan melalui peperiksaan Penilaian Tahap Kecekapan (PTK) . Suatu peperiksaan yang dianggap penuh dengan sifat ‘puaka’nya yang tersendiri. Itulah juga paradoks yang membuat guru-guru terasa sangat tidak selesa dengan PTK namun harus melaluinya sehingga melepasi tahap minima iaitu lulus peringkat III. Keberuntungan penjawat awam yang lulus PTK cukup banyak jika disandarkan kepada pergerakan anjakan gaji, semakin tinggi gred gaji seseorang, semakin banyak anjakan yang akan diperolehi. Oleh hal yang demikian, tidak mustahil mengapa penjawat awam masih mencuba untuk mencapai tahap cemerlang (peringkat IV) walau pun ada kala hati terasa jengkel dan ‘bebal’ dengan pelaksanaannya.
Sebelum wujudnya sistem PTK, penjawat awam telah dinilai berdasarkan SSB (Sistem Saraan Baru) yang menawarkan sistem gaji melintang, menegak, mendatar dan statik. Kesan dari sistem tersebut ia banyak menimbulkan pro dan kontra kepada beberapa pihak. Keberuntungan jelas memihak kepada mereka yang mendapat pergerakan gaji melintang tidak kira bagaimana cara ia dapat sama ada layak atau tidak seseorang itu dapat. Selepas lebih 10 tahun pelaksanaannya maka sistem SSB ditukar pula kepada PTK. Manakala Anugerah Perkhidmatan Cemerlang (APC) pula diperkenalkan sebagai imbuhan tahunan sebanyak RM 1000 kepada mereka yang benar-benar layak mengikut perkiraan majikan masing-masing. Tujuan PTK tetap sama iaitu memberi peluang kepada penjawat awam untuk mendapat anjakan gaji. Cuma ia lebih kepada keupayaan seseorang dalam menjawab soalan-soalan yang dikemukakan. Justeru semua penjawat awam berkesempatan untuk mendapat anjakan gaji walau pun dia seorang pekerja yang teruk. Itulah senario peperiksaan PTK di negara kita.
Aku tidak menyokong atau menentang kedua-dua sistem penilaian tersebut kerana aku sendiri telah mendapat manfaat dari kedua-duanya. Lebih-lebih lagi tanggung jawab aku sebagai penjawat awam seharusnya akur kepada setiap dasar kerajaan. Akur tidak bererti kita bersetuju tetapi ia lebih kepada rasa hormat kepada dasar yang telah ditetapkan. Setiap orang mempunyai hak untuk bersuara tetapi harus mengikut saluran yang betul. Secara peribadi aku merasakan masih ada lompang dalam PTK yang harus diperbaiki dan ia bukan perkara yang mudah untuk ditangani oleh pihak-pihak berwajib. Bukan senang untuk memenuhi semua pihak terbabit.
Sekadar ingin berkongsi pengalaman, aku rasakan SSB atau pun PTK memberi manfaat dalam perkhidmatan aku sebagai seorang penjawat awam. Tahun 2000 aku mendapat pergerakan gaji melintang hasil sokongan pengetua Mr Goh Ah Sim, seorang pengetua yang serius dan melihat prestasi kerja seseorang bukan berdasarkan ‘bodek’ atau sebagainya. Selepas 4 tahun berkhidmat di sekolah itu barulah kerja aku diadili dengan baik, lebih-lebih lagi tugas sebagai guru media memang hasil kerja akan nampak apabila banyak perubahan yang kita lakukan. Tahun 2003 sistem penilaian PTK mula diperkenalkan menggantikan SSB. Ketika keputusan peperiksaan kali pertama (DG 41) diumumkan aku hanya mendapat tahap lulus III, ekoran dari itu banyak rungutan kedengaran dalam kalangan penjawat awam. Hasil semakan semula aku telah lulus cemerlang tahap IV dan berpeluang mendapat anjakan gaji peringkat ketiga. Tahun 2006 aku mendapat peluang kenaikan pangkat DG 44 dengan ‘backdated’ 2004 dan berkursus pada tahun 2007 selama seminggu bersama ujian akhir PTK. Apabila keputusan diumumkan aku hanya lulus biasa dengan tahap III dan IV berdasarkan soalan esei yang pada pandanganku agak mudah tanpa perlu membacanya. Selepas itu aku mengulangi peperiksaan semula dan ia adalah peperiksaan terakhir yang menggunakan soalan esei. Ternyata nasib menyebelahiku kerana aku mendapat lulus cemerlang peringkat IV, Setahun selepas itu aku mendapat anjakan gaji sebanyak RM 500. Selepas itu semua soalan berbentuk objektif dan tiada kursus yang ditawarkan, malah kini, setiap peperiksaan dihadkan pula untuk beberapa kali sahaja. Khabarnya, peraturan itu diwujudkan untuk ‘mengurang’kan jumlah mereka yang lulus cemerlang.
Memang diakui kedua tahap peperiksaan PTK sebenarnya bukanlah menggambarkan hasil usaha aku untuk lulus tetapi lebih kepada nasib semata-mata. Hal ini berlaku kerana ketika peperiksaan PTK DG 41 aku sedang mengikuti peperiksaan akhir semester (master dalam multimedia) di USM. Jadi aku langsung tiada masa untuk membaca buku sebagai persediaan menghadapi peperiksaan PTK. Aku mengakui cukup bersedia dengan pelbagai teori untuk peperiksaan PTK DG 44 kali pertama termasuklah mengadakan perbincangan dengan rakan sekursus. Namun keputusannya hanya sekadar lulus peringkat III. Justeru untuk peperiksaan ulangan aku tekad tidak mahu menyentuh walau pun sebaris buku dan nota-nota tersebut, sebaliknya menjawab dengan menggunakan logik akal sebagai seorang guru. Bila keputusan keluar aku lulus cemerlang. Memang aku bersyukur sangat tetapi merasa terasa jengkel dengan sistem peperiksaan itu. Bukankah ini suatu kepelikan yang penuh dengan sifat-sifat puaka dalam peperiksaan. Kadang-kadang aku kasihan dengan rakan-rakan yang bersungguh-sungguh membuat ulangkaji tetapi masih lulus tahap biasa. Itulah peperiksaan PTK yang membuat orang meluat tetapi pada masa yang sama ia memberi manfaat kepada mereka yang lulus cemerlang. Kesimpulannya, jika nasib anda baik anda akan lulus cemerlang dan mendapat anjakan gaji, bukan kerana anda seorang penjawat awam yang rajin dan berdedikasi.
*Semua ulasan artikel tersebut berdasarkan perkiraan dan pengamatan aku semata-mata dan tidak bersumberkan mana-mana rujukan yang disahkan. Harap maklum

Friday, January 22, 2010

Apabila Terlalu Dokumentasi

Orang kata kerja sebagai guru banyak rehat, mungkin ya bagi sesetengah cikgu yang boleh buat 'bodoh' dan pejam mata dengan apa jua arahan yang diberikan. bagi orang lain pula kerja guru bukanlah semudah yang disangkakan lebih-lebih lagi jika lokasi sekolah tersebut di kawasan pekan. Segala-galanya perlu disediakan dengan teliti dalam memenuhi keperluan pihak-pihak tertentu. Makin establish sesebuah sekolah makin pening kepalalah cikgu-cikgu yang berada di dalamnya. Dan jika pengetuanya seorang perempuan maka makin banyak la 'bunga-bunga' bahasa yang perlu dikembang hiaskan.

Sebenarnya tugas sebagai guru yang paling hakiki adalah mengajar dan menguruskan aktiviti luar pelajar termasuk kokurikulum. Jika 2 perkara itu dilakukan dengan bersungguh-sungguh tidak mustahil hasil pembelajaran baik dari segi akademik dan sahsiah akan terhasil dengan cemerlang. Masalahnya guru terbeban dengan perkara-pekara yang cukup remeh temeh. Yang paling teruk adalah dokumentasi. Sekarang hampir semua sekolah gilakan dokumentasi, makin cerewet seorang pengetua makin banyaklah dokumentasi.

Dokumentasi bukan sahaja untuk peristiwa-peristiwa besar, kadang2 peristiwa kecil seperti lawatan seseorang pegawai atasan pun perlu didokumentasikan. Bayangkan betapa remeh temehnya kerja guru apabila terpaksa mencari pelbagai dokumen untuk dikumpulkan, di xerox dan dikepil foto. Paling menyakitkan hati bila semua dokumentasi tidak boleh dituntut. Oleh itu belanja kertas, dakwat warna dan xerox ditanggung sendiri oleh orang yang membuat dokumentasi. Bukan sedikit bilangan yang perlu disiapkan, kadang-kadang sampai 5 salinan.

Persoalannya ke mana hala tujunya dokumentasi yang disiapkan itu dan untuk apakah ia diwujudkan. jawapannya mudah sahaja, ia sebagai memenuhi rak-rak atau almari dengan tujuan untuk ditunjukkan kepada para pelawat yang datang dengan penuh rasa bangga bahawa inilah program yang kami buat. Jika sudah terlalu lama dokumentasi tersebut akan dijual kepada lori kitar semula. Kalau yang bernasib baik dokumentasi diletakkan di tempat-tempat yang baik.

Bukan kita tidak boleh mewujudkan dokumentasi, tetapi berpada-padalah dan harus ada perancangan dan penyediaan bahan dan peralatan untuk kerja-kerja tersebut. Jika dibebankan kepada sesuatu pihak, ia akan menimbulkan beban dan cakap-cakap yang tidak enak seperti penulis blog ini heiheiehi...aduii, aku dah banyak kali kena buat dokumentasi. Apakan daya kita hanya timun, digolek kena dan tergolek pun kena. wassalam