Thursday, November 12, 2009

Antara 'X Factor' dan Bodeksss!

Seringkali kita mendengar orang mengatakan 'dia tu orang kuat boss", "dia tu nak bodek la tu" atau "pet boss la tu". Hmmm, cuba teliti dengan mendalam apa maksud sebenarnya. Mungkinkah ada unsur-unsur cemburu atau tidak puas hati? Walau pun kita akur dengan situasi tersebut namun kadang-kadang kita tersilap dalam pertimbangan dan justifikasi lalu membuat kesimpulan yang tidak betul. memang ada beberapa situasi seseorang tu suka mengampu atau membodek atau suka mencari peluang menginjak kepala orang lain untuk naik ke atas. Tapi sejauh mana kebenarannya bergantung juga kepada orang yang menilai. Jika dilihat dari sudut positif maka ia akan menjadi positif jika tidak ia akan wujud cara yg berlainan.



Sebenarnya bukan mudah untuk kita menonjolkan diri kepada organisasi yang kita anggotai. lebih2 lagi kalau organisasi itu sudah lama dan establish dengan sikap dan pemikiran yang jumud. membuat anjakan paradigma juga bukan sesuatu yang mudah untuk dilaksanakan terutama yang melibatkan pemikiran dan tanggapan, apatah lagi untuk menerima pendapat orang lain. Semua itu memerlukan ketelusan dalam berfikir dan menganalisis sesuatu. pengalaman aku sebagai seorang guru di tiga buah sekolah memberikan impak dan persepsi yang berbeza.



pada awal perkhidmatan, guru-guru muda sering dianggap tidak tahu apa-apa walau pun ilmu tentang pedagogi penuh di dada. Seringkali mereka dibuli dengan memberikan kerja-kerja di luar bidang tugas atau diberi jadual waktu yang bukan subjek major atau minor. Guru-guru muda yang kelihatan cergas ini akan terus dibebani pelbagai perkara termasuklah mengiringi pelajar, membuat garisan padang olahraga, dihantar berkursus dan sebagainya. Pendapat guru-guru muda juga jarang didengar, atau lebih mudah lagi sering kai dianggap skeptikal, tidak berwibawa dan susah untuk dimplimentasikan. Ramai yang menyedari hakikat itu tetapi ramai juga yang menerima saja peraturan itu. lebih-lebih lagi guru2 lama yang hardcore, yang banyak berkisahkan tentang pakaian dan aksesori(wanita) atau tentang kereta, bola waima perniagaan multilevel. Kesannya pemikiran guru-guru muda sukar diterima dengan baik.



Sebagai seorang guru, anda harus ada X factor jika ingin kekal lama dalam industri ini (boleh ke dianggap indusri?). Cuba tanya diri sendiri, apa yang anda dapat sumbangkan kepada organisasi sekolah? Apakah kelebihan anda? Bagaimana anda dapat memanfaatkan ilmu dan kemahiran yang anda miliki? Semua persoalan itu harus anda tanya kepada diri sendiri jika ingin menonjolkan diri. Apa pun terpulang kepada niat kita. Ada orang ingin menonjolkan diri kerana inginkan pangkat. Secara jujur, saya bukan manusia yang suka berada dalam kelompok pentadbir, tidak suka menghadiri mesyuarat berjam-jam lamanya dan amat tidak suka dengan kerja-kerja dokumentasi. Kepuasan saya hanyalah mengajar dan mendekati pelajar.

Saya tahu X factor saya dan orang lain juga sedar apa yang saya miliki, mungkin itu yang membuat saya terus kekal dalam bidang ini tanpa rasa jemu. Saya berminat dalam bidang penulisan, penerbitan dan pada masa yang sama memiliki sedikit kepakaran dalam persembahan dan multimedia (seiring dengan master dalam bidang ini). Oleh itu penerbitan majalah dan buletin merupakan bahan yang cukup dihargai oleh pihak sekolah. Apatah lagi jika kita memiliki kepakaran photoshop dan publisher, secara tidak langsung ia meningkatkan saham kita. Di sekolah saya terdapat 4 orang guru ICT, tetapi untuk penghasilan brosur dan lay out cover penerbitan, saya masih lagi dicari oleh pihak pentadbir. Dan yang paling menarik saya berjaya menerbitkan majalah sekolah dari kulit hadapan ke kulit belakang menggunakan idea dan kreativiti saya sendiri. Hasilnya saya dibayar untuk kerja-kerja grafik oleh pencetak. Begitu juga peringkat negeri, saya sering membuat kad ucapan bagi majlis-majlis besar anjuran JPN. Malah penerbitan buku sempena Hari Guru juga masih menggunakan khidmat saya sebagai salah seorang editor. Faktor itulah yang membuat saya rasa selesa dalam bidang ini. Oleh itu carilah X factor anda, bukan menyalahkan orang lain jika lebih digemari oleh pihak pentadbir.

No comments:

Post a Comment