Saturday, February 20, 2010

PTK – Exam paling puaka...mengerikan tetapi terpaksa melaluinya.

Bagaimana rasanya jika kita berjaya lahirkan ramai pelajar melalui peperiksaan PMR,SPM dan STPM tetapi diri sendiri masih gagal utk melepasi tahap cemerlang yang diharapkan melalui peperiksaan Penilaian Tahap Kecekapan (PTK) . Suatu peperiksaan yang dianggap penuh dengan sifat ‘puaka’nya yang tersendiri. Itulah juga paradoks yang membuat guru-guru terasa sangat tidak selesa dengan PTK namun harus melaluinya sehingga melepasi tahap minima iaitu lulus peringkat III. Keberuntungan penjawat awam yang lulus PTK cukup banyak jika disandarkan kepada pergerakan anjakan gaji, semakin tinggi gred gaji seseorang, semakin banyak anjakan yang akan diperolehi. Oleh hal yang demikian, tidak mustahil mengapa penjawat awam masih mencuba untuk mencapai tahap cemerlang (peringkat IV) walau pun ada kala hati terasa jengkel dan ‘bebal’ dengan pelaksanaannya.
Sebelum wujudnya sistem PTK, penjawat awam telah dinilai berdasarkan SSB (Sistem Saraan Baru) yang menawarkan sistem gaji melintang, menegak, mendatar dan statik. Kesan dari sistem tersebut ia banyak menimbulkan pro dan kontra kepada beberapa pihak. Keberuntungan jelas memihak kepada mereka yang mendapat pergerakan gaji melintang tidak kira bagaimana cara ia dapat sama ada layak atau tidak seseorang itu dapat. Selepas lebih 10 tahun pelaksanaannya maka sistem SSB ditukar pula kepada PTK. Manakala Anugerah Perkhidmatan Cemerlang (APC) pula diperkenalkan sebagai imbuhan tahunan sebanyak RM 1000 kepada mereka yang benar-benar layak mengikut perkiraan majikan masing-masing. Tujuan PTK tetap sama iaitu memberi peluang kepada penjawat awam untuk mendapat anjakan gaji. Cuma ia lebih kepada keupayaan seseorang dalam menjawab soalan-soalan yang dikemukakan. Justeru semua penjawat awam berkesempatan untuk mendapat anjakan gaji walau pun dia seorang pekerja yang teruk. Itulah senario peperiksaan PTK di negara kita.
Aku tidak menyokong atau menentang kedua-dua sistem penilaian tersebut kerana aku sendiri telah mendapat manfaat dari kedua-duanya. Lebih-lebih lagi tanggung jawab aku sebagai penjawat awam seharusnya akur kepada setiap dasar kerajaan. Akur tidak bererti kita bersetuju tetapi ia lebih kepada rasa hormat kepada dasar yang telah ditetapkan. Setiap orang mempunyai hak untuk bersuara tetapi harus mengikut saluran yang betul. Secara peribadi aku merasakan masih ada lompang dalam PTK yang harus diperbaiki dan ia bukan perkara yang mudah untuk ditangani oleh pihak-pihak berwajib. Bukan senang untuk memenuhi semua pihak terbabit.
Sekadar ingin berkongsi pengalaman, aku rasakan SSB atau pun PTK memberi manfaat dalam perkhidmatan aku sebagai seorang penjawat awam. Tahun 2000 aku mendapat pergerakan gaji melintang hasil sokongan pengetua Mr Goh Ah Sim, seorang pengetua yang serius dan melihat prestasi kerja seseorang bukan berdasarkan ‘bodek’ atau sebagainya. Selepas 4 tahun berkhidmat di sekolah itu barulah kerja aku diadili dengan baik, lebih-lebih lagi tugas sebagai guru media memang hasil kerja akan nampak apabila banyak perubahan yang kita lakukan. Tahun 2003 sistem penilaian PTK mula diperkenalkan menggantikan SSB. Ketika keputusan peperiksaan kali pertama (DG 41) diumumkan aku hanya mendapat tahap lulus III, ekoran dari itu banyak rungutan kedengaran dalam kalangan penjawat awam. Hasil semakan semula aku telah lulus cemerlang tahap IV dan berpeluang mendapat anjakan gaji peringkat ketiga. Tahun 2006 aku mendapat peluang kenaikan pangkat DG 44 dengan ‘backdated’ 2004 dan berkursus pada tahun 2007 selama seminggu bersama ujian akhir PTK. Apabila keputusan diumumkan aku hanya lulus biasa dengan tahap III dan IV berdasarkan soalan esei yang pada pandanganku agak mudah tanpa perlu membacanya. Selepas itu aku mengulangi peperiksaan semula dan ia adalah peperiksaan terakhir yang menggunakan soalan esei. Ternyata nasib menyebelahiku kerana aku mendapat lulus cemerlang peringkat IV, Setahun selepas itu aku mendapat anjakan gaji sebanyak RM 500. Selepas itu semua soalan berbentuk objektif dan tiada kursus yang ditawarkan, malah kini, setiap peperiksaan dihadkan pula untuk beberapa kali sahaja. Khabarnya, peraturan itu diwujudkan untuk ‘mengurang’kan jumlah mereka yang lulus cemerlang.
Memang diakui kedua tahap peperiksaan PTK sebenarnya bukanlah menggambarkan hasil usaha aku untuk lulus tetapi lebih kepada nasib semata-mata. Hal ini berlaku kerana ketika peperiksaan PTK DG 41 aku sedang mengikuti peperiksaan akhir semester (master dalam multimedia) di USM. Jadi aku langsung tiada masa untuk membaca buku sebagai persediaan menghadapi peperiksaan PTK. Aku mengakui cukup bersedia dengan pelbagai teori untuk peperiksaan PTK DG 44 kali pertama termasuklah mengadakan perbincangan dengan rakan sekursus. Namun keputusannya hanya sekadar lulus peringkat III. Justeru untuk peperiksaan ulangan aku tekad tidak mahu menyentuh walau pun sebaris buku dan nota-nota tersebut, sebaliknya menjawab dengan menggunakan logik akal sebagai seorang guru. Bila keputusan keluar aku lulus cemerlang. Memang aku bersyukur sangat tetapi merasa terasa jengkel dengan sistem peperiksaan itu. Bukankah ini suatu kepelikan yang penuh dengan sifat-sifat puaka dalam peperiksaan. Kadang-kadang aku kasihan dengan rakan-rakan yang bersungguh-sungguh membuat ulangkaji tetapi masih lulus tahap biasa. Itulah peperiksaan PTK yang membuat orang meluat tetapi pada masa yang sama ia memberi manfaat kepada mereka yang lulus cemerlang. Kesimpulannya, jika nasib anda baik anda akan lulus cemerlang dan mendapat anjakan gaji, bukan kerana anda seorang penjawat awam yang rajin dan berdedikasi.
*Semua ulasan artikel tersebut berdasarkan perkiraan dan pengamatan aku semata-mata dan tidak bersumberkan mana-mana rujukan yang disahkan. Harap maklum