Monday, November 9, 2009

Di sini bermula segalanya

Sudah 17 tahun aku menjadi pendidik dan selama itu juga aku menelan pelbagai pengalaman pahit dan manis. Saat paling indah ketika aku berkhidmat di bumi Niah Sarawak (1992-1996). Aku dapat rasakan itulah cabaran yang paling besar dan paling indah untuk dikenang. Apatah lagi bila khidmat kita amat2 diperlukan. Masih aku ingat akulah guru siswazah pertama yang berkhidmat di sekolah itu (SMK Subis, Niah). Pengetuanya begitu baik dan menghargai kehadiran aku sehingga dia sendiri datang menjemputku di Airport Miri. Walau pun aku amat teruja ketika itu namun sekali sekala aku tersentak dengan persekitaran yang dikelilingi hutan. Empat tahun aku bermukim di daerah itu cukup membuat aku faham erti kehidupan, erti kesusahan dan penderitaan. Anak muridku keseluruhannya 90% berbangsa Iban dan aku amat mengkagumi budaya mereka. Pada masa yang sama aku diulit rindu kepada keluarga namun ia sedikit pun tidak mencalarkan hasratku untuk menjadi pendidik yang baik. Kemuncaknya ramai anak didikku telah berjaya dalam pelajaran dan sebahagiannya sudah menjawat jawatan yang baik. Itulah kepuasan bagi seorang pendidik yang menghambakan dirinya untuk anak bangsa. Di bumi ini aku menerima kehadiran anak pertamaku dan susah tentu mencatatkan kenangan manis bagaimana susahnya aku harungi hidup berkeluarga di bumi asing.
Tahun 1996 aku kembali ke semenanjung di bumi Kedah (mengikut isterilah kononnya). Di SMK Bedong aku ditempatkan selama 11 tahun dan menjawat jawatan Penyelaras Pusat Sumber, satu jawatan yang aku sendiri sudah muak kerana terpaksa berhadapan dengan ribuan buku. Di situ mencatatkan pelbagai kenangan apabila berhadapan dengan 3 bangsa utama iaitu Melayu, India dan Cina. Jika ada kesempatan aku akan kongsi pengalaman itu. Aku menyukai sekolah itu tapi aku tak dapat bertahan lama dengan situasi yang kurang mencabar mindaku...juga akan kuceritakan mengapa. Tahun 2008 aku berpindah ke SMK Bandar Sungai Petani, salah sebuah sekolah yang mempunyai prestij yang tersendiri, lihatlah foto itu, hebatkan... Di sini bermula segalanya dan kenangan berputatar lagi lagi dalam mencatat nostalgia pahit manis.

No comments:

Post a Comment